Friday 7 September 2012

KENALI SINARAN PERMATA



Pengenalan


Pendidikan Pemulihan adalah satu cabang pendidikan khusus bagi mengatasi serba sedikit tentang masalah pendidikan yang timbul pada masa kini, khasnya bagi kanak-kanak yang nyata sekali menghadapi masalah pembelajaran serta tecicir dan ketinggalan dalam alam pendidikan jika dibandingkan dengan tingkat kebolehan lahiriah mereka.


Siapa Kanak-kanak Pemulihan Khas?
 
Merupakan pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran dalam 3M iaitu membaca, menulis dan mengira disebabkan oleh faktor-faktor tertentu. Pelajar-pelajar ini lambat menguasai sesuatu kemahiran yang disampaikan kepada mereka. Murid-murid ini juga mempunyai pencapaian yang rendah berbanding murid-murid lain yang sama peringkat persekolahan dengan mereka.

Oleh itu, tindakan pemulihan perlu diberikan dengan segera bagi mengatasi masalah pembelajaran yang berterusan ini. Pendidikan pemulihan merupakan satu usaha atau perkhidmatan khas yang dilakukan untuk memenuhi keperluan kanak-kanak yang menghadapi masalah dan kesulitan pembelajaran di sekolah-sekolah. Tujuan pendidikan pemulihan ini adalah untuk membantu murid-murid dalam mengembangkan diri dan menunjukkan potensi mereka.






Mengapa Murid ini perlu Pendidikan Pemulihan?

Membantu murid mengatasi masalah pembelajaran dalam kemahiran-kemahiran tertentu. Memupuk serta mengembangkan sikap yakin diri dan sikap positif terhadap pembelajaran. Membantu murid mengubah sikap negatif dan tingkah laku yang menjejaskan pembelajaran.
Membolehkan murid menguasai kemahiran-kemahiran tertentu dengan cara mengikuti aktiviti-aktiviti alternatif yang sesuai dengan mereka. 

Membolehkan murid mendapat layanan dan kemudahan belajar yang sesuai dengan kemampuan dan perkembangan mental individu. Membolehkan murid mendapat peluang yang sama dengan melibatkan diri sepenuhnya dalam aktiviti-aktiviti sosial, sama ada di dalam atau di luar bilik darjah. Membolehkan murid meneruskan pelajaran mereka dalam sistem persekolahan biasa atau sekolah khas yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing.